Perjuangan dan penentangan Ulama_Minangkabau

Setelah sekian lamanya Islam masuk ke Indonesia, pergeseran dengan masyarakat setempat timbul setelah kedatangan pihak Belanda. Beberapa ulama Minangkabau turut serta dalam memimpin penentangan rakyat terhadap penjajah tersebut melalui serangan bersenjata serta pergerakan dan pendidikan umum.

Perang Padri

Potret Tuanku Imam Bonjol
Rencana utama: Perang Padri

Tiga orang ulama iaitu Haji Miskin, Haji Piobang, dan Haji Sumanik telah kembali dari melakukan ibadah haji pada tahun 1803, dan menjadi pendukung gerakan puritanisme Islam di Sumatera Barat.[29]:35-38 Mereka menentang amalam adat dan kebiasaan lama yang mereka anggap tidak sesuai dan mendesak masyarakat untuk melakukan kewajipan formal agama Islam. Atas sebab tersebut, perang saudara meletus antara puak Padri (kelompok pendukung) dan puak Adat yang menentang gerakan tersebut.[29]:35-38

Tuanku Imam Bonjol (1772–1864) ialah seorang ulama dari Bonjol, Pasaman, yang kemudiannya menjadi salah seorang pemimpin dalam Perang Padri,[30] setelah Haji Miskin dan Tuanku Nan Renceh yang merupakan pemimpin sebelumnya meninggal dunia.[30] Tuanku Imam Bonjol kemudiannya mendapat gelaran Pahlawan Nasional Indonesia kerana perjuangannya menentang penjajahan.[31] Selain beliau, gerakan itu turut disertai oleh Tuanku Tambusai dan Tuanku Rao yang menyebarkan agama Islam di Tapanuli.

Pada tahun 1821, puak Adat meminta sokongan pihak Belanda untuk menentang puak Padri.[32] Belanda mengambil kesempatan itu untuk memperluas kekuasaannya sehingga pada tahun 1833, puak Adat bergabung dengan puak Padri untuk melawan Belanda.[32] Meskipun Belanda berjaya mengalahkan penentangan tersebut, sejarawan Merle Ricklefs berpendapat bahawa Perang Padri meninggalkan kesan yang mendalam kepada masyarakat Minangkabau.[29]:36 Iltizam terhadap ajaran Islam yang ortodoks dan peranan Islam sebagai sebahagian daripada keseluruhan aturan masyarakat menjadi sangat kuat.[29]:36

Gerakan reformis dan tradisi

Alim ulama Minangkabau sejak 1900-an lebih cenderung untuk fokus kepada pendidikan dan kegiatan intelektual berbanding penentangan secara fizikal. Gerakan modenisme Islam di Timur Tengah yang diasaskan oleh Syeikh Muhammad Abduh dan Syeikh Rasyid Ridha turut memberi kesan kepada ulama Minangkabau pada ketika itu. Pada awal kurun ke-20, mereka yang mendukung gaya pembaharu dikenali sebagai kaum Muda manakala ulama yang mendukung amalan tradisional disebut sebagai kaum Tua.[29]

Syeikh Ahmad Khatib al-Minangkabawi (1860–1916) ialah seorang ulama kelahiran Koto Gadang, Agam dan beliau menjadi imam besar bukan berketurunan Arab pertama di Masjid al-Haram, Makkah. Beliau merupakan guru kepada para ulama besar pada zamannya dan sangat kritis terhadap adat resam dan amalan tarekat yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam.[33] Sepupu beliau, Syeikh Tahir Jalaluddin (1869–1956) turut menganjurkan banyak gagasan pembaharuan dan menerbitkan majalah reformisme Islam Al-Imam (1906) di Singapura, di mana kandungan majalah itu sejajar dengan majalah terbitan Rasyid Ridha, Al-Manar di Mesir.[29] Selepas Ahmad Khatib, ulama Minangkabau lain yang bergiat di Masjid al-Haram ialah Djanan Tajib. Beliau dilantik sebagai ketua (ma'dzun syar'i) bagi orang-orang Nusantara di Makkah.

Syeikh Muhammad Jamil Jambek (1860–1947) adalah salah seorang ulama pelopor pembaharu di Minangkabau. Beliau banyak mengadakan kegiatan pembaharuan dan pemurnian Islam melalui ceramah atau dakwah secara lisan serta menulis buku-buku yang menolak amalan tarekat secara berlebihan.[34] Haji Abdul Karim Amrullah (juga dikenali sebagai Haji Rasul atau Inyiak Doto, 1879–1945) merupakan antara tokoh lain yang mengasaskan sekolah Islam moden yang pertama Sumatera Thawalib (1919) iaitu di Padang Panjang; bersama-sama dengan Haji Abdullah Ahmad (1878–1933), mereka berdua merupakan orang Indonesia terawal yang memperoleh gelaran doktor kehormat dari Universiti Al-Azhar, Mesir.[35] Selain itu, Haji Abdullah juga telah menerbitkan majalah Al-Munir (1911) di Padang, yang membawa idea keakuran Islam dengan sains dan kerasionalan moden.[29][34] Ulama lain iaitu Syeikh Ibrahim Musa (Inyiak Parabek, 1882–1963) telah mendirikan dan menguruskan sekolah cawangan bagi Sumatera Thawalib di Parabek, Bukittinggi.[34]

Syeikh Muhammad Saad Mungka (1857–1942) merupakan ulama pendukung tradisi tarekat yang pernah dua kali bermukim di Makkah (1884 dan 1912). Beliau hidup sezaman dengan Syeikh Ahmad Khatib, dan mereka berdua terlibat dalam polemik mengenai tarekat.[34]:88 Syeikh Khatib Ali dan Syeikh Muhammad Dalil (juga dikenali sebagai Syeikh Bayang, 1864–1923) pula merupakan tokoh muzakarah ulama pendukung tradisi yang cukup menonjol. Di samping itu, Syeikh Abbas Qadhi melakukan perubahan pendidikan dengan mendirikan sekolah rendah berasaskan sistem yang dipanggil sebagai Arabiyah School.[34]:89 Beliau meminta Syeikh Sulaiman ar-Rasuli (juga dipanggil Inyiak Caduang, 1871–1970) untuk membuka sekolah di peringkat yang lebih tinggi sehingga Syeikh Sulaiman mendirikan Madrasah Tarbiyah untuk menampung lulusan Arabiyah School.[34]:89 Syeikh Sulaiman turut mengajak Syeikh Abdul Wahid, Syeikh Muhammad Jamil Joho dan Syeikh Arifin al-Arsyadi untuk mengembangkan sistem pendidikan di sekolah. Persatuan Tarbiyah Islamiyah (PTI) kemudiannya ditubuhkan bagi memperluaskan sistem pendidikan tersebut.[34]:90

Keprihatinan terhadap keadaan sosial, siasah dan iktisad pascamerdeka di Indonesia secara umumnya dan di Sumatera Barat khususnya, menjadikan pertelingkahan antara kelompok kaum Tua dan Muda semakin pudar.[36]:21-22 Dua kelompok tersebut telah bertemu pada 10 Disember 1950, disusuli dengan persidangan besar mubaligh dan alim ulama pada 21 hingga 23 April 1951.[36]:23 Persidangan ini dihadiri oleh wakil ulama dari hampir semua daerah di Sumatera Barat, serta dari Riau dan Jambi, di mana wakil-wakilnya berasal dari atau pernah belajar di Sumatera Barat. Satu misi bersama diputuskan untuk mendidik kehidupan golongan pemuda melalui pendidikan Islam, sehingga mereka bersatu dan mendirikan sebuah sekolah tinggi yang dinamakan Perguruan Tinggi Islam Sumatera Tengah (PTI-ST).[36]:23 Para pemimpin daripada dua kelompok itu seperti Ibrahim Musa Parabek, Sulaiman ar-Rasuli, Mansoer Daoed Dt. Palimo Kayo, Darwis Dt. Batu Besar, Nazaruddin Thaher, Saadoe'ddin Djambek, dan A. Malik Sidik dipilih untuk terlibat dalam struktur pengurusan.[36]:23

Masa pergerakan sehingga kemerdekaan

Menantu dan anak kepada Haji Rasul iaitu AR Sutan Mansur dan (1895–1985) dan Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka, 1908–1981) turut menjadi ulama terkenal. AR Sutan Mansur merupakan ulama yang pernah memimpin pertubuhan Muhammadiyah,[37] dan Hamka juga pernah memegang jawatan tersebut (bagi tahun 1953–1971). Hamka turut dikenali sebagai seorang ulama antarabangsa dan sasterawan. Beliau telah dianugerahkan gelaran Pahlawan Nasional Indonesia di atas jasa-jasa beliau dalam perjuangan kemerdekaan di Indonesia.[35]

Mohammad Natsir (1908–1993) ialah seorang ulama dan tokoh perjuangan kemerdekaan berasal dari Alahan Panjang, Lembah Sumanti;[38]:21 beliau pernah memegang jawatan sebagai Presiden Kongres Muslim Sedunia, Ketua Dewan Masjid Sedunia serta pemimpin parti politik Masyumi dan Perdana Menteri Indonesia.[38]:24[39]:128 Beliau juga dianugerahkan gelaran Pahlawan Nasional Indonesia, walaupun sebelum ini beliau pernah menyertai Pemerintahan Revolusioner Republik Indonesia (PRRI) pada tahun 1958 bagi menentang demokrasi terpimpin semasa zaman Order Lama dan sebagai pembangkang bagi Petisyen 50 pada zaman Order Baru.[40][41][38]:25

Di Tanah Melayu, Datuk Seri Dr. Burhanuddin al-Helmi ialah ulama berketurunan Minangkabau (di sebelah bapanya) yang turut bergiat dalam politik. Selepas Perang Dunia Kedua, beliau menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya semasa ia diasaskan. Parti ini menuntut kemerdekaan sepenuhnya dan menentang segala bentuk penjajahan daripada pihak British.[42]:177 Pada 1956, beliau dipilih sebagai Yang Dipertua Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1969.[43]

Rujukan

WikiPedia: Ulama_Minangkabau http://rmaward.asia/awardees/maarif-ahmad-syafii/ http://www.ranaocouncil.com/history/?id=9 http://www.sumbaronline.com/berita-11142-perjalana... http://majalah.tempointeraktif.com/id/arsip/1990/0... http://www.tempointeraktif.com/hg/nusa/2008/11/05/... http://archive.wikiwix.com/cache/?url=http://majal... http://www.wisatamelayu.com/id/tour/1575-Makam-Teu... http://www.wisatanews.com/more.php?id=1216 http://www.academia.edu/6609095/SEJARAH_KEMASUKAN_... http://padangekspres.co.id/?news=berita&id=32547